ALOR SETAR 14 NOV : Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini melahirkan rasa dukacita dengan sikap pihak tertentu yang memperkecil-kecilkan sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir besar, baru-baru ini. Tuanku Abdul Halim yang berkenan merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Penggal Ketiga, dekat sini, pagi tadi bertitah baginda kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir.
Sementara itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dana, saling membantu dan bekerjasama memberi bantuan tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik semasa negeri menghadapi bencana banjir terburuk itu.
"Beta merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir dan keadaan ini jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat beta yang berbilang kaum dalam menghadapi bencana, titah baginda lagi.
Ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) yang berjaya menerajui kerajaan negeri secara adil, beramanah dan proaktif.
"Rakyat di negeri ini telah diberi layanan yang adil, hubungan antara kaum semakin erat melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Beta dapati kerajaan negeri telah memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini," titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan