ISNIN, 15 NOVEMBER 2010 - Masanya telah tiba untuk Umno berundur dan tampuk pimpinan negara digantikan oleh PAS kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad. Katanya, Melayu khususnya diseru untuk mnenyertai parti Islam itu memandangkan Umno kini sudah hilang arah dan tidak mampu lagi menjaga kepentingan masyarakat Melayu di negara ini.
"Orang Melayu perlu mencari bahtera penyelamat, maka parti yang mempunyai landasan yang jelas, terbukti dan teruji ialah PAS," katanya ketika membentangkan kertas kerja 'PAS Ganti Umno, Rasional dan Tindakan', di sini semalam.
Memetik portal Harakahdaily.net, Idris menggariskan 23 sebab kewajaran Umno diganti dengan PAS.
Antaranya menyebut bahawa Islam bukan dasar Umno, malah Islam hanya diperalatkan oleh Umno untuk agenda politik tertentu.
Bahkan katanya, Umno juga katanya terang-terangan menggunakan masyarakat Melayu untuk kepentingan peribadi dan kantung masing-masing.
"Mereka guna perkara 153 dalam perlembagaan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, akhirnya Melayu terus merempat di bumi sendiri.
"Di mana tempat Umno kuat, di situ Melayu merempat," tambahnya.
Umno juga dakwanya mengamalkan dasar Umno Putera bukan bumiputera.
Ianya satu bentuk diskriminasi bangsa hanya kerana berlainan ideologi yang menyebabkan peratus kemiskinan bumiputera meningkat.
Merujuk kepada pembangunan modal insan, Umno juga katanya gagal dalam menjalankan amanah bagi membentuk masyarakat yang bersih akhlak dan berkeperibadian mulia.
Ini kerana, Umno katanya lebih berminat untuk menyuburkan industri maksiat di negara ini.
Tambah Idris lagi, sejak 50 tahun memerintah juga, rasuah di bawah Umno terus meningkat malah sudah membarah di kalangan pemimpin dan ahli mereka.
"Sebenarnya punca kerosakan besar sebuah negara dan tamadun berpunca dari rasuah sehingga keselamatan negara terancam," katanya.
Umno juga katanya tanpa segan silu sanggup menggadai harta negara ke tangan asing iaitu dengan menyerahkan telaga Blok L dan M kepada Brunei dengan nilai RM320 bilion, pulau Batu Putih kepada Singapura, dan juga memberi 217 hektar tanah KTMB kepada republik itu.
Justeru katanya, PAS akan menjelaskan segala kepincangan yang dilakukan oleh Umno kepada rakyat agar mereka dapat menilai siapa Umno sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan