
Jika skrip itu, yang disusun teliti dengan upah yang lumayan, dituruti tanpa rintangan, maka Najib dan BN sudah lama mencapai matlamat menjadikan konsep 1Malaysia senjata politik paling berkesan untuk meraih semula kepercayaan rakyat.

Manusia merancang namun Tuhan menentukan...setiap kali Najib dilihat maju satu, dua langkah ke depan dalam perang untuk menawan hati rakyat, timbul pendedahan yang membongkar tembelang kepimpinan sebenar beliau.
Penahanan 30,000 naskhah alkitab Injil di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini dan 5,000 lagi di Pelabuhan Kelang sejak 2009 semata- mata kerana ia berbahasa Melayu menempelak gagasan 1Malaysia dan kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perlembagaan.
Pejabat Perdana Menteri membisu seribu satu bahasa. Begitu juga dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Turut bungkam adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini tidak pernah melepaskan peluang untuk membidas Pakatan Rakyat walaupun berada di luar negara.
Terus bungkam
Namun, seperti Najib dan Hishamuddin, beliau juga membisu seribu bahasa atas isu yang melibatkan kepentingan awam, khususnya masyarakat Kristian.

Dalam maksud lain, nampaknya pendekatan yang diguna-pakai Najib serta Umno-BN pimpinannya, yang menjadi paksi kepada keputusan adalah bukan apa yang wajar tetapi apa yang boleh mendatangkan kelebihan dari sudut kertas undi.
Sekian lama, kerajaan Umno-BN menjadikan aspek ini asas dalam segala pertimbangannya. Lebih-lebih lagi kerajaan sekarang.
Oleh kerana bimbang sokongan akan merudum, sama ada dari orang Melayu mahupun bukan Melayu, maka Umno-BN mencari pelbagai helah untuk menunda merungkai isu- isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Media arus perdana pula diperalatkan untuk menutup arahan pegawai khas perdana menteri supaya tidak ada nyanyian lagu suci atau simbol nabi Isa ketika perdana menteri menghadiri majlis rumah terbuka Hari Natal tahun lalu.
Lesen judi
Lesen perjudian baru dikatakan dikeluarkan kepada syarikat milik seorang jutawan Cina tetapi kemudian ditarik balik selepas rakyat beragama Islam dan bukan Islam sama-sama membantah tindakan itu.

Pada masa sama, untuk mengimbangi pemberian ratusan ribu sijil kewarganegaraan kepada penduduk Cina dan India, perdana menteri memupuk hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan Melayu tegar seperti PERKASA.
Politik perkauman sempit dimainkan menerusi PERKASA dan Datuk Ibrahim Ali serta satu lagi senjata yang masih bisa iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Strategi ini dilaksanakan secara licik – ibarat lontar batu, sembunyi tangan.
Masyarakat umum yang bergantung kepada media arus perdana semata- mata pula ibarat tangan kanan yang tidak tahu perlakuan tangan kiri iaitu Umno-BN.
Strategi ini amat berbahaya dan tidak menghairankan, ketegangan kaum semakin dirasai. Kecurigaan dan prasangka antara kaum ini adalah terjemahan program- program tajaan Najib yang berselindung di sebalik topeng 1Malaysia.

Politik perkauman yang mewarnai pemerintahan Umno-BN masih dan amat menebal sekali di jiwa Perdana Menteri Najib Razak dan menteri- menteri Umno
Tiada ulasan:
Catat Ulasan