Rabu, 5 Mac 2014

Tun Dr Mahathir mengingatkan pentadbiran Najib agar tidak menipu diri sendiri dalam isu (BR1M) kepada golongan berpendapat rendah.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar tidak menipu diri sendiri dalam isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapat rendah.

Katanya, kerajaan tidak harus terus menanggung beban hingga RM8.4 bilion demi menyalurkan BR1M, yang menurutnya tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi.

Dalam tulisannya di blog chedet.cc, beliau menegur pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memahami sentimen rakyat dengan lebih baik.

"Kegagalan untuk memahami sentimen awam akan memberi akibat buruk kepada ahli politik. Menipu diri sendiri adalah lebih buruk," tulisnya.

Jelasnya, kerajaan masih mendapat sokongan baik walau tanpa memberi “sogokan” seperti itu, katanya.

“Sebenarnya, ramai juga yang memberitahu saya bahawa BR1M adalah sogokan, terutama apabila diberi sebelum pilihan raya.

“Ini samalah seperti memberi plakad untuk dipamerkan apabila anda lalu. Ia tidak mencerminkan perasaan atau sentimen sebenar.

“Perasaan itu lebih baik dinyatakan melalui undi mereka. Undian mereka menunjukkan kematangan masing-masing,” katanya.

Najib: Belanja subsidi terlalu banyak

Sementara itu, Najib satu ucapan di perhimpunan Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun mempertahankan pengagihan BR1M, yang disifatkannya sebagai satu usaha menyeimbangkan perbelanjaan subsidi.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM22 bilion untuk subsidi minyak manakala RM40 bilion bagi subsidi dan insentif secara keseluruhannya berbanding RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

"Kita lihat ini tidak seimbang sebab apabila kita belanja terlalu banyak untuk subsidi, ini akan berlakunya ketirisan, pembaziran dan ketidakadilan," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya memperuntukkan RM4.6 bilion untuk BR1M melalui pengurangan subsidi pukal.

'BR1M tak beban kerajaan'

Turut menyokong langkah tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang berkata BR1M tidak meningkatkan beban kewangan kerajaan.

"Beban kewangan negara tidak meningkat dgn BR1M sebab ada penjimatan dari pengurangan polisi subsidi pukal.

"BR1M diperkenalkan untuk membantu rakyat yang layak menerimanya disamping sistem subsidi pukal dikurangkan," katanya dalam tulisan di Twitter.

Tambahnya, kerajaan juga kini sedang mempertimbangkan kaedah lain seperti kad untuk subsidi petrol.

"Sistem subsidi pukal di mana semua (tak kira pendapatan) menikmati petrol yang disubsidi perlu perbelanjaan kerajaan yang lebih banding BR1M," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan