Rabu, 5 Mac 2014

Bukti kononnya orang Melayu dibawa ke gereja untuk dimurtadkan


Wanita yang difitnah murtad, akan saman Blogger UMNO..





Gambar yang disifatkan sebagai bukti kononnya orang Melayu dibawa ke gereja untuk dimurtadkan adalah gambar palsu, menurut salah seorang yang dilihat dalam gambar yang tersebar di media sosial, Zaiton Ismail.

Menurut aktivis pertubuhan Islam itu, gambar tersebut menunjukkan dewan besar Institut Pemikiran Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Zaiton, yang giat dalam Pertubuhan Ikram Malaysia, berkata beliau telah difitnah oleh gambar tersebut.

Beliau melahirkan rasa terkejut dan amat sedih kerana dikaitkan dengan tuduhan murtad.

Zaiton dilihat dalam gambar tersebut bersama beberapa orang lain, termasuk yang bertudung, duduk di bangku kayu.

Menurut Zaiton, mereka menghadiri sebuah majlis anjuran Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada 29 Februari, 2012.

Ekoran itu, Ikram mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menyebarkan berita palsu mengenai gambar tersebut.

"Apapun niat blogger tersebut, ternyata perbuatannnya itu telah mewujudkan kesan negatif kepada individu terbabit dan masyarakat secara umumnya," kata Ketua Wanita Ikram Malaysia, Maznah Daud.

Beliau berkata kelakuan seperti itu menggugat persefahman dan keharmonian antara rakyat yang lama terjalin di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kerana ia bukan saja menimbulkan fitnah peribadi, tetapi membabitkan hasutan yang boleh memberi kesan kepada hubungan antara agama di negara ini.

Sebelum ini, aktivis hak asasi Yu Ren Chung, yang turut hadir dalam majlis yang sama di Istac, tampil menafikan dakwaan blog tersebut.

Yu berkata gambarnya bersama yang lain di sebuah majlis kerajaan disalah tafsir pelbagai pihak menerusi blog dan media sosial.

"Kasihan penjawat awam yang berada di dalam gambar itu. Mereka hanya menjalankan tugas menghadiri program LPPKN tetapi dituduh murtad," katanya.

Blog yang menyiarkan gambar tersebut berkata ia adalah bukti kegiatan murtad di gereja, dan mempersoalkan PAS yang "masih menghalalkan usaha Melayu dimurtadkan".

"Dulu PAS pernah berjanji untuk mentarbiah DAP supaya mengikut Islam. Tetapi sekarang, apa yang kita nampak. PAS yang kena 'tarbiah' supaya mengikut DAP.

“Akhirnya, lama ke lamaan, ahli PAS yang dikristiankan. Ini bukan cakap saja, contohnya dah ada. Cuma kita perlu guna akal untuk berfikir."

Pendedahan mengenai blog tersebut berlaku serentak laporan sebuah akhbar kononnya tiga lelaki ditangkap di Pulau Pinang kerana mengedarkan Bible berbahasa Melayu kepada anak Melayu di sebuah sekolah.

Laporan itu kemudian didapati palsu, dan dipercayai sebahagian siri provokasi agama oleh beberapa pihak di Pulau Pinang.

Baru-baru ini, beberapa gereja di negeri itu dikejutkan dengan kain rentang dipasang di luar gereja, yang menggunakan kalimah Allah dalam konteks Kristian.

Beberapa gereja dan masjid juga menjadi sasaran serangan, termasuk insiden di masjid Cherok Tok Kun yang dibaling sekeping daging dipercayai khinzir.

~ The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan