Mahasiswa dalam negara dan luar negara selaku nadi negara mesti bijak dalam membezakan dua perkara yang dinyatakan di dalam tajuk di atas. Menegur pemerintah tidak sama maksudnya dengan bersetuju ataupun bersama-sama pembangkang.
Kita anak muda adalah agen perubahan dan ada pengaruh dengan magnitud yang luar biasa. Justeru, sebarang keputusan yang diambil kerajaan mesti kita fikirkan dengan matang dan penuh hikmah.
Jika keputusan yang baik diambi oleh kerajaan, kita wajar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi, namun jika dirasakan ada cacat cela yang signifikan, luahkan buah fikiran anda, nyatakan pandangan anda dengan yakin dan penuh tanggungjawab.
Ingat, memberikan pandangan sebegini tidak semestinya anda bersama-sama barisan pembangkang!
Ini kerana pembangkang juga terbuka kepada kesalahan yang sama samada pada masa kini semasa menjadi pembangkang mahupun setelah memegang tampuk pemerintahan negara nanti. Namun apa yang penting di sini, di manakah NILAI pendirian anda?
Bangunan 100 tingkat
Bayangkan jika anda mempunyai wang sebanyak RM 5 bilion, ke mana anda mahu membelanjakan wang ini untuk pembangunan negara?
i) Menaik taraf sistem pengangkutan awam (LRT, KTM) di KL setaraf dengan TFL
ii) Membangunkan Pulau Langkawi sebagai Pulau Ikon sedunia
iii) Membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat
iv) Menghantar tambahan 5000 pelajar perubatan ke UK atau 50,000 pelajar perubatan ke Mesir
v) Membina lebih banyak sekolah berasrama penuh?
Perbincangan inilah yang membentuk asas kepada belanjawan negara, sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri negara baru-baru ini. Dan cadangan ketiga telah diumumkan oleh Perdana Menteri negara. Apa pendapat kita selaku mahasiswa?
Antara hujah-hujah sokongan adalah;
i) Tanah ada nilai yang tinggi, jadi alang-alang nak bina bangunan, kena bina tinggi
ii) Jana ekonomi negara - tarik pelabur luar
iii) Peluang pekerjaan melalui pengagihan projek-projek
iv) Kita perlukan ikon negara maju
Manakala hujah-hujah balas pula adalah;
i) Subsidi akan dimansuhkan. Rakyat semakin sengkek..
ii) Berapa banyak gedung perniagaan di KLCC dimiliki bumiputera dan rakyat Malaysia pada hari ini?
iii) Rakyat memerlukan bonus dalam zaman kesempitan ini.
iv) Kos awal RM 5b, confirm naik punya, macam projek istana negara, atas 'sebab-sebab' tertentu.
Apa juga hujahnya, golongan yang berusia awal 20-an harus sedar, di mana nilai pandangan anda? Adakan sekadar disimpan rapi di dalam peti, atau terkunci di dalam peti suara? Bahaskan dengan bijaksana. Ingatlah wahai mahasiswa sekalian, pandangan anda bernilai, dan hanya bernilai apabila anda suarakan.
Dan ingat, menyuarakan padangan tidak semestinya anda menyokong pembangkang!
'Isu Rosmah' pula meyusul
Beberapa hari selepas pembentangan bajet negara, seantero negara gempar dengan aksi-aksi 'panas' semasa Islamic (Islamic?) Fashion Festival (IFF).
Pelbagai NGO bangkit membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.
Rupanya ada pakaian yang membuka aurat dan terpampang nama 'Muhammad' secara terbalik di dada si peragawati. Beberapa persoalan di sini;
i) Penggunaan nama 'Muhammad' ini sememangnya satu penghinaan, jika ia benar.
ii) Namun begitu, kalau dilihat dalma konteks yang lebih besar, penganjuran program seumpama ini juga sudah merupakan satu penghinaan besar.
Walaupun namanya fesyen Islam, namun pemakaiannya langsung tidak Islamik! Ibaratnya kalau kita mahu menjual kereta Proton, namun kita iklankan di akhbar yang kita mahu menjual kereta Jaguar. Adakah tindakan kita itu adil?
Dalam hal ini, tanpa mengira siapa sekali pun yang bersalah, mahasiswa wajar mengambil tahu akan apa yang berlaku, dan suarakan teguran anda.
Bagi yang beragama Islam, apabila cara hidup anda dihina, anda wajib bangkit mempertahankan dan menegur kesilapan yang ada. Dan bagi yang bukan Islam, apabila ada agama lain yang dihina, atas semangat 1Malaysia, kita mesti bersama-sama bersatu dalam membetulkan kesilapan yang telah dilakukan, demi kemaslahatan bersama.
Wahai mahasiswa, jangan ragu-ragu menyatakan nilai pendirian anda.
Zaman sekarang kita ada blog, media alternatif, akhbar tempatan dan medan sosial maya seperti Facebook. Nyatakan pendapat anda dengan penuh hikmah dan beradab dan penuh ikhlas.
Dan menyatakan pendirian anda tidak semestinya anda menyokong pembangkang. Anda sebenarnya menyokong jati diri anda!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan