Setiap tahun sekitar pertengahan bulan Februari atau mengikut kalendar China yang jatuh pada tarikh tersebut, Kaum Hokkien dari kalangan orang-orang Cina akan mengadakan upacara sembahyang di tokong-tokong.
Ini adalah salah satu upacara wajib Tahun Baru bagi mereka.
Di Pulau Pinang, di Jalan Pokok Ceri yang terletak di bahagian bawah Bukit Bendera, berhampiran Stesen Keretapi Bukit Bendera turut berlaku upacara ini. Tahun ini jatuh pada 10 Februari 2011 menjelang tengah malam.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang sangat maklum hari upacara ini, sekali lagi meninjau sebelum menjelang tengah malam. Memang benarlah tokong yang terletak di kaki Bukit Bendera, kira-kira dua ratus meter dari pintu gerbang jalan raya merupakan rumah ibadat dan upacara sembahyang kaum Hokkien yang bernama Tua Pek Kong.
Tapi malangnya hari upacara sembahyang yang dituntut oleh agama mereka telah dicemari oleh sebahagian besar pengemis untuk mengemis sepanjang jalan tersebut.
Mereka, sepanjang tinjauan di buat ada yang datang dari negara luar selain dari Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sendiri. Seperti mana pengemis-pengemis yang mengemis di mana-mana rumah ibadah, mereka sebenarnya tidak dijemput.
Sejak pagi lagi mereka sudah duduk berbaris dengan bekalan di sepanjang jalan dua ratus meter ke Tokong Tua Pek Kong.
Persatuan Pengguna merasa terpanggil meminta perhatian mana-mana pihak yang berkenaan, terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Bandaraya atau parti politik yang sering sering bersuara menjaga maruah bangsa dan sukuan supaya mencari jalan, di samping menggunakan kuatkuasa yang ada untuk menafikan kehadiran golongan seperti ini.
Mereka telah mencemar keadaan dan suasana, memalukan kaum sukuan dan menjatuhkan maruah bangsa. Dengan tibanya hari upacara sembahyang setiap tahun, mereka seolah-olah berpesta dan mereka seperti terpanggil oleh sebab mendapat simpati dari pengunjung ke situ.
Persatuan Pengguna mahu mereka ditiadakan atau dalam ertikata yang lain tidak dibenarkan 'mengemis' pada hari-hari seperti itu, pada mana-mana tempat ibadah semua kaum.
Kami juga dapati, pengemis yang mengemis di situ bukan saja terdiri dari kalangan orang tua, dewasa tetapi juga telah mengguna tenaga kanak-kanak bagi mendapat simpati. Kami juga menemui sekumpulan keluarga yang sedia berkhemah, menghampar tikar plastik bersama anak beranak.
Persatuan Pengguna mendesak pihak JKM bertindak sama ada di bawah Akta 611, iaitu Akta Kanak-kanak 2001 Bahagian 3 atau pun Subseksyen 3(2) Akta Orang papa 1977.
Ini tentunya akan menjadi lebih kemas apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sedang mengkaji untuk meminda Akta Orang Papa 1977 bagi menghukum pengemis 'tulen' atau 'pengemis palsu'.
Kami berpendapat, kebanyakan pengemis di Jalan Pokok Ceri yang bermusim ini terdiri dari 'Pengemis Palsu.'
Apapun kami berpendapat, pengemis yang muncul di sepanjang Jalan Pokok Ceri berdekatan stesen Keretapi Bukit Bendera menuju ke Tokong Tua Pek Kong perlu dinafikan kehadiran mereka tahun-tahun mendatang, kerana selain dari kita dapat mengelak dari maruah kaum dan etnik tercemar, mengemis bukanlah budaya yang perlu dipelihara di negara Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan