23 September bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sekali lagi memainkan api perkauman apabila beliau menyatakan Melayu akan hilang kuasa kalau Pakatan Rakyat (PR) memerintah. Katanya juga dia bukanlah bersikap perkauman.
Dr Mahathir juga menggambarkan bahawa orang Cina atau India mungkin menjadi Perdana Menteri jika PR mengambil alih negara, kerana Perlembagaan tidak menghadkan jawatan itu kepada mana-mana kaum.
Saya berpandangan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.
http://kerajaanrakyat.blogspot.com/
Selain penggunaan isu perkauman untuk Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak.
Masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.
Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan. Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.
Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong.
Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?
Nurul Izzah Anwar
MP, Lembah Pantai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan